Followers

epilog KEMBARA BUMI KENYALANG : 2nd day


kampung budaya negeri sarawak




kampung boyan (belakang tuh gunung santubong)



muzium kucing DBKU




Kompleks DUN negeri Sarawak

Kampung Budaya>Kg Boyan>Muzium Kucing>DUN Sarawak

Tarikh : 2 Disember 2009 (Rabu)

Seawal jam 550 pagi kami dikejut bangun agar dapat bersama-sama menunaikan solat subuh berjemaah. Dan kira-kira jam 650 pagi, kami berkumpul di dataran kolej cempaka untuk taklimat aktiviti program dan sarapan pagi. Antara aktiviti kami hari ini adalah lawatan ke Kampung Budaya negeri Sarawak, Makan tengahari di tebing sungai Kampung Boyan, lawatan ke Muzium Kucing, lawatan ke Kompleks DUN Sarawak dan pada sesi malam, akan diadakan aktiviti Ice-breaking.

Kehadiran kami di Kampung Budaya disambut mesra oleh petugas disana. Terdapat 7 buah rumah di sekitar Kampung Budaya antaranya adalah Rumah Melayu, Rumah Cina, Rumah Panjang Melanau, Rumah Panjang Orang Ulu, Rumah Panjang Iban dan Pondok Penan. Setiap rumah ini mempunyai ciri-ciri rekabentuk tersendiri dan begitu unik. Setiap rekabentuk ini mempunya ceritanya yang tersendiri. Hiasan dalaman rumah-rumah ini juga menunjukkan kehidupan sebenar kaum-kaum etnik di Bumi Kenyalang ini. Pendedahan yang jelas disertakan penerangan yang terperinci oleh ‘tuan rumah’ ataupun petugas rumah masing-masing membolehkan kami menambah ilmu pengetahuan dan memahami kehidupan sosio-budaya etnik di negeri ini.

Setelah selesai mengunjungi ketujuh-tujuh buah rumah, kami berkumpul di Dewan Teater untuk menyaksikan persembahan kebudayaan mengikut etnik masing-masing. Persembahan yang disajikan kepada kami cukup menghiburkan. Gerak geri yang tertib dan lemah gemalai oleh para penari membuatkan penonton yang memenuhi dewan tersebut terpaku dan fokus menyaksikan persembahan mereka diatas pentas. Iringan irama muzik yang unik tetapi tidak membosankan jelas merupakan ‘perasa’ tambahan dalam persembahan yang dipersembahkan kepada kami. Sebelum persembahan berakhir, para penonton termasuk kami diajak naik ke pentas dan menari bersama-sama. Cukup menghiburkan.

Selepas Kampung Budaya, bas yang membawa kami menuju ke Kampung Boyan iaitu sebuah perkampungan melayu yang tidak jauh daripada Kampung Budaya. Apa yang menarik, kampung ini berlatarbelakangkan Gunung Santubong iaitu antara gunung yang menjadi kebanggaan penduduk setempat. Kami makan tengahari di tebing Sungai Kampung Boyan dan menunaikan solat di masjid kampung tersebut juga sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi berikutnya.

Destinasi seterusnya ialah ke Muzium Kucing yang terletak di tingkat bawah bangunan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU). Muzium ini cukup menarik kerana hanya mempamerkan pelbagai koleksi cerita,sejarah dan kisah mengenai haiwan bernama Kucing sahaja. Sangat bertuah kucing-kucing zaman sekarang.

Hampir sejam lebih di muzium kucing, kami seterusnya ke Kompleks baru DUN negeri Sarawak yang menjadi kebanggaan dan mercu tanda negeri Sarawak hari ini. Kompleks yang bernilai 300 juta ringgit malaysia ini memakan masa 5 tahun untuk disiapkan. Rekabentuk bangunan yang sangat unik dan berseni turut menerapkan seni-seni dan ciri-ciri setiap etnik di negeri ini. Gahnya kompleks ini tersergam indah di hadapan waterfront bandaraya Kuching ternyata hasil kerjatangan arkitek Hijjas Kasturi Consultant. Kompleks ini setinggi 9 tingkat yang mana pada tingkat teratas iaitu tingkat kesembilan dibuka kepada orang ramai untuk menyaksikan pemandangan bandaraya kuching dari udara. Kompleks ini menempatkan pejabat Ketua Menteri Sarawak dan menteri-menterinya, Dewan Undangan Negeri Sarawak, Dewan Santapan ataupun Dewan Lapau dan sebagainya.

Pada sebelah malamnya, bertempat di dewan seminar kolej cempaka diadakan pula sesi ice-breaking dan pembahagian kumpulan. Sesi ini merupakan sesi rasmi pengenalan dan perkenalan diri kepada semua. Setelah orang terakhir memperkenalkan diri, kami dipecahkan kepada 4 kumpulan dan diberikan masa untuk memberi nama kumpulan,lagu kumpulan dan gaya kumpulan. Akhirnya, tertubuhlah 4 kumpulan iaitu kumpulan Terubok(ikan terubok), Kleba Kacak (rama-rama), Kelontet (pepatung) dan Tengkoyong(siput). Nama-nama kumpulan ini adalah berdasarkan nama fauna tetapi dalam bahasa Sarawak.

epilog KEMBARA BUMI KENYALANG : 1st day

**entri kali ni mengenai pengalaman aku dan
anuar, timbalan presiden II kolej KUAZ UM
mengikuti program KEMBARA KEPIMPINAN IPT 2009
bertempat di UNIMAS SARAWAK
pada 1 disember 2009
sehingga 12 disember 2009**


SARAWAK CLUB,RAKAN BARU & UNIMAS

Tarikh : 1 Disember 2009 (Selasa)

Penerbangan kami dari Kuala Lumpur ke Kuching Sarawak pada jam 4.20 petang. Kami bertolak ke LCCT Sepang kira-kira jam 1 tengahari menaiki kenderaan yang disediakan oleh pejabat HEPA. Setibanya di LCCT Sepang, kami terus ke kaunter masuk dan menyelesaikan urusan tiket dan bagasi. Sejurus kemudian, pada jam 4.30 petang, kami meninggalkan bumi Semenanjung Malaysia dengan pesawat Air Asia AK5212 iaitu penerbangan terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. Ketika dalam perjalanan, perasaan kami sangat teruja dan berdebar. Kami berdoa agar niat dan perjalanan kami ini dirahmati Tuhan.
Dengan faktor cuaca yang baik, perjalanan udara yang mengambil masa 1 jam 45 minit ini terlalu singkat. Ini kerana, sepanjang perjalanan, kami dapat melihat pemandangan udara yang cukup indah dan menarik. Tetapi, sejurus pesawat memasuki zon Bumi Kenyalang, cuaca berubah. Hujan lebat meyambut kehadiran kami di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. Namun begitu, bibit-bibit senyuman yang dilemparkan oleh beberapa mahasiswa UNIMAS di luar pintu ketibaan kepada kami, sangat dihargai dan terharu. Kami diberitahu sedikit makluman mengenai acara seterusnya iaitu Majlis Makan Malam & Perasmian program di Sarawak Club pada jam 830 malam.
Usai membersihkan diri, kami (termasuk mahasiswa daripada pelbagai IPT dari semenanjung) terus bertolak ke Sarawak Club. Sarawak Club merupakan tempat yang acapkali menjadi pilihan untuk para pemimpin-pemimpin negeri Sarawak dan ahli korporat berkumpul dan bertegur sapa. Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor UNIMAS. Para hadirin disajikan makanan masakan cina dan persembahan kebudayaan oleh mahasiswa UNIMAS. Pertemuan kali pertama membuatkan ada dikalangan kami yang tersipu malu dan kekok untuk bual bicara dan berkongsi cerita. Majlis tamat kira-kira jam 1100 malam dan diakhiri dengan taklimat ringkas oleh pihak urusetia program.
Kami bertolak pulang ke tempat penginapan iaitu di Kolej Cempaka UNIMAS. Kolej Cempaka merupakan kolej terbaru di kampus induk UNIMAS ini. Rekabentuk moden dan berkonsepkan apartment membuatkan kolej ini berada di kelas yang tersendiri berbanding kolej-kolej yang lain.

Rumusan :

Hari pertama menjejakkan kaki di Bumi Sarawak begitu mengujakan kami. Kemajuan modenisasi bandaraya Kuching membuatkan kami tidak berasa asing dan janggal malah merasakan seperti kami berada di bandaraya Kuala Lumpur pula. Sarawak kini bukan sama seperti Sarawak Dulu.
Sarawak Club, kawan baru & UNIMAS. Pengalaman hari pertama yang tidak mungkin kami lupakan. Di Sarawak Club menjadi medan saksi perhimpunan pemimpin-pemimpin tertinggi 24 IPT, politeknik, kolej komuniti di seluruh negara. Cukup mengujakan. Jika sebelum majlis ada antara kami malu- malu kucing untuk bertegur sapa, namun pada akhir majlis, kami sudah tidak malu bertegur sapa. Malah, ada yang terlebih gelak ketawa. Begitu cepat ukhwah(perhubungan) antara kami terbina. Jelas disini, komunikasi merupakan kemahiran yang sangat penting dalam aspek pembinaan perhubungan dan penyatuan di antara satu sama lain. Terima kasih UNIMAS kerana menyatukan kami.